Lelaki Ditahan Cederakan Dua Wanita Di Tandas Surau Selangor
2 mins read

Lelaki Ditahan Cederakan Dua Wanita Di Tandas Surau Selangor

This post has already been read 9698 times!

Lokasi kejadian dua wanita cedera diserang seorang lelaki bersenjatakan pisau di dalam tandas sebuah surau berhampiran sekolah agama rakyat di Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor, pada 9 Ogos lalu. – Foto POLIS DIRAJA MALAYSIA

PETALING JAYA: Lelaki yang menyerang dan mencederakan dua wanita dengan pisau rambo di tandas Surau Al-Ehsaniah Ahmadiah, di Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor, pada 9 Ogos 2024, sudah ditahan polis awal pagi 13 Ogos 2024.

Suspek berusia 46 tahun itu bersembunyi di sebuah rumah di Kajang, Selangor, sebelum ditahan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dan D9 Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor, kira-kira 1.30 pagi.

Malah, dikatakan semasa ditahan, suspek yang bersembunyi di rumah rakannya itu cuba melarikan diri melalui pintu belakang kediaman itu, tetapi berjaya diberkas polis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Penolong Pesuruhjaya Shahrulnizam Ja’afar, berkata suspek lelaki tempatan itu ditahan 1.30 pagi di rumah kenalannya itu. Beliau berkata siasatan lanjut polis mendapati lelaki yang menyerang jurujual berusia 26 tahun dan guru besar berusia 52 tahun di tandas Surau Al-Ehsaniah mempunyai enam rekod kesalahan jenayah membabitkan kes samun, curi dan curi kenderaan.

“Suspek kini ditahan reman dan perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Mahkamah Petaling Jaya,” katanya dalam kenyataan, lapor Harian Metro.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 tengah hari 9 Ogos, jurujual berusia 26 tahun mengalami kecederaan di kepala dan perut, manakala guru besar berusia 52 tahun mengalami luka pada lengan dan tangan kiri.

Sebelum kejadian mangsa berusia 26 tahun itu dipercayai singgah untuk menunaikan solat Zohor dan masuk ke dalam tandas surau sebelum diserang seorang lelaki.

Baca Juga   Kisah Benar Inspirasi Kejayaan

Guru besar sekolah agama berkenaan yang melihat wanita terbabit sedang bergelut dengan lelaki itu dengan kesan cedera di perut dipercayai ditikam, cuba membantu mangsa, tetapi turut dilibas suspek menyebabkan beliau cedera di tangan.

Polis menerima maklumat kejadian berkenaan pada 1.48 tengah hari 9 Ogos, yang berlaku berhampiran surau yang turut menempatkan sebuah Sekolah Rendah Agama (SRA).

Kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Shah Alam, Selangor, untuk rawatan dengan mangsa yang berusia 26 tahun menerima rawatan lanjut, manakala guru besar dirawat sebagai pesakit luar.

Siasatan awal polis mendapati kedua-dua mangsa itu tidak mengenali suspek.

Penafian

Maklumat yang terkandung dalam siaran ini adalah untuk tujuan maklumat am sahaja.