Pengawal keselamatan Filipina kantoi miliki kad pengenalan palsu
Kuala Lumpur: Lapan lelaki Filipina yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan menggunakan kad pengenalan palsu ditahan dalam Operasi Terancang di Stadium Merdeka di sini, semalam.


Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kuala Lumpur Eris Jemadi Tajudin berkata, operasi itu dijalankan bermula 6 petang hingga 8 malam hasil daripada risikan yang dilakukan oleh Unit Operasi dan Risikan JPN Kuala Lumpur sejak minggu lalu.
Menurutnya, seramai tujuh pegawai JPN Kuala Lumpur dengan bantuan empat pegawai Unit Khas, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN Putrajaya terbabit dalam operasi itu.
“Dalam operasi ini, kami berjaya menahan lapan pengawal keselamatan yang sedang bertugas di pondok pengawal di Stadium Merdeka yang disyaki menggunakan kad pengenalan palsu sebagai pengenalan diri.
“Semua pengawal keselamatan yang ditahan itu mengaku berketurunan Yakan dan berasal dari Filipina berusia antara 23 hingga 58 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Eris berkata, siasatan juga mendapati mereka memperoleh kad pengenalan palsu dari ejen di Sabah sebelum menyelinap masuk ke Semenanjung untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan.
“Ketika pemeriksaan dilakukan, berlaku sedikit pergelutan apabila terdapat cubaan melarikan diri.
“Bagaimanapun, kecekapan pasukan serbuan berjaya menggagalkan usaha mereka sebelum pengawal keselamatan itu ditahan untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, kesemua pengawal keselamatan terbabit akan didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur esok mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007).
“Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dihukum penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya,” katanya.
▶️Harian Metro
Penafian
Pihak BicaraMinda tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui Tajuk " Pengawal keselamatan Filipina kantoi miliki kad pengenalan palsu " di laman ini. Ia adalah pandangan peribadi pengomentar dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pengomentar sendiri.