This post has already been read 650 times!
DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan rasa pihatin dah bimbang susulan kejadian terbaru berunsur keganasan membabitkan pemain bola sepak Selangor FC, yang juga pemain kebangsaan, Faisal Halim.
Baginda selaku Penaung Selangor FC dan DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah sebagai Pengerusi Selangor FC, mengecam sekeras-kerasnya serangan tidak bermoral ini dan mahu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat kejadian ini ke akar umbi serta mencari punca sehingga pelakunya dapat ditangkap dengan segera.
Baginda turut menggesa mana-mana pihak yang mempunyai maklumat untuk tampil memberi kerjasama dengan pihak polis. Baginda memandang serius kejadian ini dan mahu siasatan turut merangkumi kemungkinan sekiranya ada melibatkan kegiatan kumpulan yang berniat jahat atau keingkaran awam seperti samseng bola sepak atau hooliganisme.
Baginda amat kecewa dan menganggap kejadian seumpama ini sebagai melampau kerana melibatkan nyawa ahli-ahli sukan.
Baginda khuatir jika insiden seperti ini tidak dibanteras segera, ia akan terus melarat sehingga boleh mengundang perkara lebih buruk pada masa akan datang.
Baginda mendoakan agar Faisal Halim kembali sihat seperti sediakala dan dapat meneruskan khidmat sebagai pemain untuk pasukan Selangor FC.
ISTANA ALAM SHAH 5 Mei 2024
Maklumat yang terkandung dalam siaran ini adalah untuk tujuan maklumat am sahaja.