Botak Chin atau nama sebenarnya Wong Swee Chin. Botak Chin tidak berkepala botak sebaliknya nama itu adalah gabungan perkataan BO TAK CHIN dalam bahasa hokkien membawa maksud Tiada (BO) Kerja (TAK) CHINA (Chin) atau ‘jobless chinese’.

Mula terlibat aktiviti kongsi gelap geng 360 pada tahun 1967, bergiat aktif di Kuala Lumpur dan melakukan jenayah seperti merompak dengan menggunakan senjata api yang dirampas oleh kumpulannya atau dibeli di Thailand dengan menggunakan wang hasil dari rompakkannya.

Pada September 1969, dia mula menubuhkan geng sendiri. Melakukan lapan rompakan pada bulan itu tetapi akhirnya ditahan polis dan dipenjara tujuh tahun.

November 1974 selepas dibebaskan dari penjara dia memulakan kehidupan baru sebagai sebagai penjual sayur tetapi tidak memuaskan hatinya. Kemudian Botak Chin kembali aktif dengan menubuhkan geng kongsi gelap baru yang dianggotai Ng Cheng Wong (Ah Wong), Beh Kok Chin (Pangkor Chai) dan Teh Bok Lay (Seh Chai).

Mereka aktif melakukan rompakan di pusat perjudian haram di Sentul, sebuah bank di Jalan Imbi Kuala Lumpur, kuil Cina di Jalan Kolam Ayer Kuala Lumpur, sebuah bar di Sentul, di Kelab Kereta api Sentul dan juga di Kelab Lumba Kuda sekitar Kuala Lumpur.

Botak Chin bersama kereta Datsun yang diguna untuk aktiviti kongsi gelap

Segala hasil rompakan digunakan untuk membeli lapan senjata api dan peluru di Thailand. Kedudukannya sebagai ketua mula terancam oleh anggotanya sendiri, Ah Wong, dan Ketua Geng Lima Jari Gunung, Tua Pui Lek mati ditembak di kawasan lombong tinggal di Jinjang.

Orang kanannya, Seh Chai, pula mati membunuh diri selepas dikepung polis di Jalan Alor. Awal 1976 Botak Chin mengambil anggota baru, diikuti tiga rompakan dengan wang yang dilarikan kira-kira RM400,000. Pada masa sama, tujuh orangnya mati ditembak selain ada yang ditangkap.

Senjata milik botak Chin

Polis juga berjaya merampas senjata api, peluru dan bom. Pada 22 November 1975, kejadian berlaku di malam hari. Sebuah kereta Datsun hijau yang dinaiki oleh Botak Chin dan ahli gengnya yang lain mengekori rapat sebuah kereta yang dinaiki oleh pegawai kanan polis, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Deputi Superintendan (DSP) S Kulasingam. Pegawai berkenaan adalah sasaran mereka. Setiba di lampu isyarat Jalan Davis-Jalan Pekeliling, kereta Datsun berkenaan bergerak pantas menghampiri kenderaan yang mereka ekori. 18 tembakan dilepaskan bagi ‘menghapuskan’ DSP S Kulasingam. Dentuman demi dentuman dilepaskan hingga mengejutkan orang ramai di sekitar kawasan berkenaan.

DSP S Kulasingam

Matlamat kumpulan lelaki itu hanya satu iaitu membunuh seorang pegawai kanan polis di tempat terbuka. Bagaimanapun, tindakan ‘gila’ penjenayah itu gagal berikutan hanya satu das tembakan mengenai Kulasingam. Sebaliknya pegawai polis itu masih berupaya memandu ke Balai Polis Cheras, tidak jauh dari lokasi itu. Keesokannya, terpampang pada dada akhbar bahawa cubaan membunuh itu gagal. Serangan mengejut terhadap Kulasingam menyebabkan pihak polis bertekad untuk menahan dan membasmi jenayah Botak Chin.

Satu pasukan khas ditubuhkan polis. Beberapa pegawai polis yang pakar memburu penjenayah daripada beberapa ibu pejabat polis daerah dipanggil menganggotai pasukan itu dan tugas mereka adalah menjejak pergerakan geng Botak Chin.

16 Februari 1976, episod akhir pemburuan polis membawa mereka ke sebuah kilang papan di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Polis mula mengepung kilang berkenaan dan menunggu kemunculan Botak Chin. Sebuah kereta Mazda putih masuk ke kawasan kilang. Sebaik berhenti, tiga lelaki keluar daripada kereta itu dan seorang daripada mereka ialah suspek buruan, Botak Chin.

Penjenayah ganas itu lengkap bersenjata selain memiliki dua bom tangan. Langkah dan perlakuan seperti biasa meyakinkan pihak polis bahawa kumpulan penjenayah terbabit tidak menyedari kehadiran mereka. Dengan pantas pihak polis bertindak, empat pasukan menggempur masuk ke kawasan kilang dan berlakulah pertempuran antara penjenayah dan polis, masing masing melepaskan tembakan. Botak Chin ditembak pada kaki dan tangan kanan. Manakala pengikut pengikutnya yang lain telah mati ditembak. Babak keganasan penjenayah itu berakhir apabila Botak Chin yang berada dalam keadaan tersepit menyerah diri dalam operasi penuh bahaya itu.

Botak Chin diberkas dalam operasi khas

Botak Chin ditahan selama setahun sebelum mengaku bersalah apabila dihadapkan ke mahkamah terhadap dakwaan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang membawa kepada hukuman mati mandatori.

Ketika menunggu dihukum gantung, Botak Chin terus menunjukkan sikap ganasnya apabila menyerang dan mencederakan pegawai penjara termasuk menggunakan senjata tajam sebanyak dua kali.

Botak Chin dihukum gantung sampai mati pada 11 Jun 1981 di Penjara Pudu, Kuala Lumpur.

Penafian

Maklumat yang terkandung dalam siaran ini adalah untuk tujuan maklumat am sahaja. 

 

advanced-floating-content-close-btnForum link.
advanced-floating-content-close-btn
advanced-floating-content-close-btnKlik Lazada