Nelayan berjaya naikkan kerapu gergasi 100 kg dalam masa 45 minit
DUNGUN – Seorang nelayan mengambil masa 45 minit bagi menaikkan ikan kerapu kertang seberat hampir 100 kilogram (kg) di perairan Dungun dekat sini semalam.

Bahiyuddin Awang Harun, 35, berkata, ikan kerapu kertang bersaiz gergasi itu memasuki bubu gergasi yang ditahannya pada kedudukan 45 batu nautika dari perairan Kuala Dungun.
Nelayan yang berasal dari Seberang Pintasan di sini itu memberitahu, dia dan dua awak-awaknya mengambil masa hampir 45 minit untuk menaikkan bubu gergasi berisi ikan kerapu kertang berkenaan dengan menggunakan mesin pengangkat.
“Saya terpaksa memotong bubu gergasi buatan sendiri yang pernah tular sebelum ini demi mengeluarkan ikan kerapu kertang gergasi ini.
“Begitupun, saya puas hati kerana ini kali pertama dapat menaikkan ikan seberat dan bernilai tinggi seperti ini sepanjang 19 tahun menjadi nelayan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Jeti Lembaga Kemajuan Perikanan Malaysia (LKIM Kuala Dungun di sini hari ini.
Bahiyuddin berkata, ikan kerapu kertang mendapat permintaan tinggi terutama dalam kalangan pengusaha restoran makanan laut yang sanggup membelinya pada harga antara RM35 hingga RM50 sekilogram.
Kosmo! 18 November tahun lalu melaporkan Bahiyuddin mengambil inovatif membina sebuah bubu gergasi sepanjang 244 sentimeter (cm) dan mempunyai kelebaran183 cm sebagai persiapan keluar ke laut menghadapi musim tengkujuh. – K! ONLINE
Penafian
Pihak BicaraMinda tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui Tajuk " Nelayan naikkan kerapu 100 kg dalam masa 45 minit " di laman ini. Ia adalah pandangan peribadi pengomentar dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pengomentar sendiri.