Satu kisah seorang doktor pakar bedah pernah viral beberapa tahun dahulu tentang skandal seks dia dengan beberapa wanita malahan katanya ada isteri orang juga, namun setakat mana kebenarannya hanya yang mengalami sahaja yang tahu.
Jujurnya, aku adalah salah seorang mangsa lelaki kasanova itu dalam modus operandi yang hampir sama. Berkenalan melalui media sosial dengan profil yang memikat, Perkenalan yang dijanjikan cinta dan akan dijadikan isteri, ditiduri, diberi kemewahan, layanan yang romantik, dan akhirnya ditinggalkan dengan tiba tiba dengan pelbagai alasan.
Aku yakin pada kisah bekas isterinya yang juga mencarinya untuk urusan nikah dan cerai mereka. Dia hanya mengambil mudah ikatan nikah dan cerai, apatah lagi jika cuma pasangan kekasih.
Masa depan seorang wanita seperti tiada makna apa pun baginya. Sehingga hari ini sukar aku maafkan perbuatan zalim dia pada aku. Aku tahu dia masih di hospital swasta terkemuka di Selangor itu, namun untuk mencarinya aku rasakan hanya sia sia kerana dia seorang yang berhati kering dan tidak pernah takut sebarang ancaman atas perbuatan dia.
Mungkin kerana status dan pangkat dia yang dibanggakan itu. Mungkin juga perwatakan dia yang seperti warak dengan tanda lebam di dahi itu mengaburi mata orang terhadap sikap sebenar dia.
Dia hanya menggunakan alasan hatinya tidak boleh dipaksa untuk meneruskan hubungan dan dia tawar hati. Sedangkan dia sudah dapat maruah wanita itu dengan dijanjikan ikatan nikah. Pada masa yang sama, dia menjalinkan hubungan dengan wanita lain.
Tidak aku sangkal memang lelaki itu mempunyai rekod nikah cerai yang banyak dalam mahkamah syariah. Juga beberapa kes kesalahan jenayah syariah.
Nikah lari, cerai sesuka hati di luar mahkamah, dan nikah cerai yang banyak kali dengan ramai isteri. Anaknya juga ramai katanya berbelas belas dan tidak seorang pun tinggal bersamanya. Dari apa yang sampai kepadaku, dia tinggal seorang diri di sebuah kondo dan juga ada beberapa wanita kerap bersamanya.
Aku tidak pasti berapa orang isteri dia ada setakat ini. Apa aku buat dalam hal ini dan kenapa aku katakan hanya sia sia sehinggakan hari ini masih ada mangsanya. Aku pernah mencarinya melalui majikannya di hospital swasta itu, namun hanya sia sia kerana status dia sebagai doktor pakar dipandang tinggi.
Sudah puas aku memberitahu rakan sekerja dan majikan dia perkara ini namun mereka hanya diam seribu bahasa. Mungkin juga dia pandai mereka reka cerita lain untuk melindungi perbuatan dia. Aku pernah terjumpa dalam satu medium media sosial, ada salah seorang mangsanya juga mencarinya dengan memviralkan dia setelah dia blok wanita itu untuk menghubunginya.
Juga dalam modus operandi yang sama. Dipikat, ditiduri, diberi kemewahan, dijanjikan nikah dan akhirnya dibuang begitu sahaja. Aku tidak pasti tentang itu. Sehingga hari ini kisah itu masih kekal di media sosial itu. Aku pernah meminta pertolongan rakan baiknya untuk menasihati dia untuk tidak memperlakukan aku seperti pelacur dan janji janji dia untuk bertanggungjawab di atas semua perbuatannya.
Aku pernah meminta pertolongan ahli keluarganya dalam hal ini namun tidak memberi kesan apa apa kerana lelaki itu tetap ahli keluarga mereka yang dilindungi biarpun aku beri semua bukti perbuatan khianat dia kepada aku.
Bahkan aku dipersalahkan kerana memburukkan ahli keluarga mereka. Lebih kejam, aku dituduhnya membuat fitnah untuk mendapatkan kemewahan daripada lelaki itu. Menghubungi pihak berwajib untuk diambil tindakan tatatertib etika perbuatan? Sudah aku laporkan namun tidak ada apa apa kesan.
Selagi perbuatan dia tidak melanggari etika professional pekerjaan ketika bertugas, mereka tidak akan terlibat dalam hal peribadi yang tidak berkaitan. Laporan aku tidak berbalas dan hanya sepi.
Pujuk rayu dia untuk minta dikasihani? Ini akan memperbodohkan diri sendiri kerana sikapnya yang tidak pernah ambil peduli maruah dan harga diri wanita. Isteri isterinya yang ada anak tiga empat orang dengannya pun dia tidak pernah fikirkan masa depan mereka sewaktu menceraikan mereka, inikan pulak aku hanya wanita tempat dia melampiaskan nafsu.
Dia tidak mempunyai perasaan simpati sedikit pun apabila aku menangis merayu kepadanya minta jangan memperdaya aku. Apa aku boleh katakan kepada wanita lain, jangan ada lagi yang menjadi mangsa seterusnya kepada lelaki ini. Sekali anda terjerat memang dia akan menundukkan anda sehingga ke katil.
Kenali peribadi dia yang bercakap lemah lembut dan berwatakan alim. Dia akan menundukkan wanita dengan kemewahan dan status yang dia ada. Menjerat wanita dengan janji untuk dijadikan isteri dan akhirnya apabila sudah dapat apa yang dia mahukan, wanita itu akan ditinggalkan begitu sahaja.
Jika dinikahi pun tidak lama, lafaz cerai cukup mudah di mulutnya. Dengan mudah dia akan mencari pengganti lain dengan pakej yang dia ada. Aku bercakap benar. Aku kenali juga beberapa orang bekas isteri dan bekas kekasihnya. Apa boleh aku katakan hanyalah, aku akan terus berdoa agar dibukakan hatinya untuk insaf kerana umurnya sudah 50 an dan semoga suatu hari nanti dia akan pulang ke pangkal jalan. – AIREENSYU (Bukan nama sebenar)
Maklumat yang terkandung dalam siaran ini adalah untuk tujuan maklumat am sahaja.